Tiga Wanita, Seorang Lelaki Masak Mi Segera Dituduh Di Mahkamah Hari Ini

Tiga Wanita, Seorang Lelaki Masak Mi Segera Dituduh Di Mahkamah Hari Ini

0
SHARE

KUANTAN: Empat daripada 15 individu yang ditahan menjalankan aktiviti memasak me segera di kawasan stesen minyak d Genting Highlands baru-baru ini akan didakwa di Mahkamah Bentong hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, ACP Zaiham Mohd Kahar berkata, keempat-empat individu itu dituduh di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan. 

“Tiga wanita dan seorang lelaki berusia antara 23 hingga 24 tahun akan didakwa esok.

“Seramai 11 lagi individu yang ditahan telah dibebaskan dan mereka akan menjadi saksi kepada kes ini,” katanya ringkas dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Zaiham berkata, tiada pengilbatan anak Timbalan menteri daripada 15 individu yang ditahan pada Sabtu sebagaimana ditularkan di laman sosial.

Memetik Sinar Harian pada 13 Mei lalu, tular satu klip video di laman sosial memaparkan sekumpulan individu ‘berkelah’ dan memasak di sebuah stesen minyak dipercayai di Genting Highlands, mengundang kecaman netizen kerana bimbang tindakan itu akan membahayakan keselamatan.

Video berdurasi satu minit dua saat yang tular menunjukkan beberapa individu sedang melepak sambil memasak mi segera dengan menggunakan dapur gas mudah alih.

Turut kelihatan dalam video berkenaan sebuah kereta peronda memasuki stesen minyak tersebut, namun kumpulan terbabit tidak menghiraukan kehadiran pihak polis dan menyambung aktiviti yang dilakukan.

Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan penahanan 15 individu termasuk lima wanita selepas mereka hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong, pada Sabtu lalu.

Katanya, kesemua mereka berusia antara 23 hingga 28 tahun dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.