
KOTA KINABALU, SABAH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah menerima dua buah van jenazah sumbangan kerajaan negeri melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) PDRM Sabah akan memanfaatkan sepenuhnya van jenazah itu untuk kegunaan Masjid Nur Islam di kontinjen berkenaan serta warga sekitarnya, di samping membantu golongan memerlukan.
“Selain itu, MUIS juga memberi sumbangan pengurusan dan aktiviti dakwah bernilai RM130 ribu kepada Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), IPK Sabah.
“Turut menyumbang ialah daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) melalui sumbangan kewangan bernilai RM3,000 dan set peralatan pengurusan jenazah kepada masjid.
“Kita amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri ini dan diharap dengan sumbangan yang diberikan ini dapat memudahkan urusan-urusan yang berkaitan,” katanya pada Majlis Penyerahan Van Jenazah PDRM Kontinjen Sabah, pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Ariffin Arif, Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengerusi PBNS, Datuk Dr. Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar. — JABATAN PENERANGAN SABAH