Angka Kes Jangkitan COVID-19 Seluruh Dunia Turun 16% Minggu Lalu – WHO

Angka Kes Jangkitan COVID-19 Seluruh Dunia Turun 16% Minggu Lalu – WHO

0
SHARE
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus...

GENEVA, SWITZERLAND – Angka kes jangkitan baharu COVID-19 seluruh dunia dilaporkan turun sebanyak 16 peratus minggu lalu kepada 2.7 juta kes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, jumlah kematian baharu turut berkurangan sebanyak 10 peratus dari minggu ke minggu kepada 81,000 kes saja.

Lima daripada enam wilayah WHO di dunia turut melaporkan penurunan peratusan dua angka dalam kes baharu dengan hanya Timur Mediterranean menunjukkan kenaikan tujuh peratus.

Angka kes baharu turun 20 peratus minggu lalu di Afrika dan Pasifik Barat, 18 peratus (18%) di Eropah, 16 peratus (16%) di Amerika dan 13 peratus (13%) di Asia Tenggara.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata jumlah kes baharu berkurangan untuk minggu kelima berturut-turut iaitu hampir separuh daripada lebih lima juta kes yang dilaporkan pada 4 Januari lalu.

“Ini menunjukkan bahawa langkah-langkah kesihatan awam dilaksanakan sepenuhnya walaupun terdapat varian lain yang kali pertama dikesan di Britain…

“Yang penting sekarang adalah bagaimana kita bertindak balas terhadap trend ini dan jika kita berhenti melawannya, ia akan kembali menderu,” katanya.

Sementara itu, kemudahan COVAX iaitu pengedaran vaksin COVID-19 global yang bertujuan memastikan negara miskin mendapat mengakses dos berada dalam senarai terakhir penghantaran.

“Susulan lampu hijau WHO untuk suntikan AstraZeneca, COVAX menjangkakan sebahagian besar penghantaran pertama Mac ini dengan beberapa penghantaran awal pada akhir Februari,” menurut kenyataan bersama Covax dan WHO.

Kira-kira 145 ekonomi yang menyertai Covax akan menerima cukup dos untuk mengimunisasi 3.3 peratus penduduk mereka secara kolektif pada pertengahan 2021.