Polis Buru Lelaki Dipercayai Mencuri Jam Tangan Jenama Rolex Bernilai Lebih RM60...

Polis Buru Lelaki Dipercayai Mencuri Jam Tangan Jenama Rolex Bernilai Lebih RM60 Ribu

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang lelaki yang dipercayai mencuri jam tangan jenama Rolex bernilai lebih RM60,000 dari sebuah kedai barangan berjenama di Subang Jaya, Selangor, lapor Astro Awani.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 1.40 pagi, Sabtu.

Jelas beliau, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang merupakan kakitangan kedai tersebut.

“Wanita tersebut mendakwa jam berkenaan dicuri individu yang menyamar sebagai pelanggan semasa dia dan rakannya sedang membuka kedai.

“Suspek mencuri seutas jam tangan jenama Rolex Datejust 36 Oyster-Steel and Yellow Gold sebelum melarikan diri dengan alasan mahu mengambil majikannya di tingkat bawah,” katanya.

Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek telah menunggu di hadapan kedai sebelum dibuka dan membuat janji temu melalui mesej.

Wan Azlan turut memaklumkan anggaran kerugian adalah sebanyak RM64,000.00 dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Akta 574).