KUALA LUMPUR – Peguam syarie, Azmi Mohd Rais mengesahkan laporan yang mendakwa pengarah dan pelakon terkenal Syamsul Yusof memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira Kazar di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, hari ini.
Memetik sumber Harian Metro, Azmi berkata, perceraian itu difailkan olehnya sebagai peguam yang mewakili pengarah filem Munafik itu.
“Dia (Syamsul) minta saya failkan di mahkamah hari ini. Dia juga memberi keizinan untuk saya mengesahkan perkara ini kepada Harian Metro,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Syamsul, 40, atau nama sebenar Mohd Syamsul Mohd Yusof memfailkan perceraian ke atas Ira Kazar atau nama sebenar Faghirah Fatini Kazaruddin.
Sebelum ini Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.
Perkara itu disahkan oleh Syamsul menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram pada Januari tahun lalu.
Rentetan daripada itu, pelakon Puteri Sarah pada ketika itu sebagai isteri pertama nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.