Penganggur Didenda RM25 Lagi Selepas Ulang Kesalahan Komen Jelik

Penganggur Didenda RM25 Lagi Selepas Ulang Kesalahan Komen Jelik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang wanita penganggur didenda RM25 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah menghantar pesanan WhatsApp serta memuat naik komen jelik yang menghina seorang suri rumah, Siti Noor Liyana Abd Latif Beldram, 37.

Tertuduh, Luisa Luis, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.

Mahkamah menjatuhkan denda RM25 di bawah Seksyen 8(1)(b) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil serta memberi peringatan supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama.

Luisa, yang diwakili peguam Datuk Ram Singh, mengaku bersalah terhadap satu daripada dua pertuduhan yang dibacakan.

Minggu lalu pada 27 Februari, tertuduh turut didenda RM25 atas kesalahan serupa selepas pertuduhan asal di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan diturunkan kepada Seksyen 8(1)(b) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil.

Kes itu melibatkan ugutan bunuh terhadap mangsa yang sama.

Rekod mahkamah turut menunjukkan Luisa pernah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen pada 10 Jun 2024 di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik komen jelik terhadap bekas Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Fairuz Renddan di Facebook.

Pada hari sama, Mahkamah Majistret turut menjatuhkan denda RM3,000 di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan selepas beliau mengaku menghina kehormatan Fairuz melalui kata-kata kesat di WhatsApp pada 6 April.

Luisa sekali lagi didenda RM3,800 oleh Mahkamah Majistret pada 28 Jun 2024 atas kesalahan berulang di bawah seksyen sama.