Brunergy Umum Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Pertama Di Borneo

Brunergy Umum Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Pertama Di Borneo

0
SHARE
Gambar Hiasan

BRUNEI: Syarikat Brunei, Brunergy Utama Sdn Bhd mengumumkan projek Trans Borneo Railway – Rangkaian Kereta Api Berkelajuan Tinggi Pertama di Borneo.

Syarikat itu menerusi laman sesawangnya dipetik berkata, projek tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan laluan sepanjang 1,620 kilometer (km).

Jelasnya, jarak purata antara stesen-stesen yang akan dibina adalah 150 km, lapor Borneo Network.

“Kelajuan kereta api ini adalah 300 hingga 350 km per jam dengan anggaran purata perjalanan antara stesen hanya memakan masa 30 minit,” katanya.

Mengenai laluan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi itu, Fasa Pertama bagi menghubungkan bandar-bandar di pantai barat ke timur bermula di Pontianak, Kalimantan Barat, dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah yang merupakan kawasan tumpuan ekonomi.

Laluan Fasa Pertama ini adalah, Kota Kinabalu, Kimanis/Papar, Beaufort, Sipitang, Lawas, Bangar, Limbang, Bukit Panggal, Miri, Bintulu, Sibu, Sri Aman, Kuching, Sambas, Singgawang, Mempawah dan Pontianak.

Sementara Fasa Kedua pula, akan melibatkan Kalimantan Utara dan Timur untuk menghubungkan Laluan Utama dengan bandar terbesar Borneo, Samarinda, dan kemudiannya ibu negara Indonesia baharu, Nusantara.

Laluannya adalah Long Seridan, Bekalalan, Long Bawan, Malinau, Tanjung Selor, Tandjungredeb, Pengadan, Lubuk Tutung, Bontang, Samarinda dan Balikpapan.

Bagi terminal dan stesen pula, Kereta Api Trans-Borneo (TBR) akan menjadi tuan rumah kepada empat terminal, berfungsi sebagai hab utama untuk pengangkutan massa, bersama-sama dengan 24 stesen di kepulauan ini.

Kedua-dua laluan akan bersambung di daerah Tutong di Brunei yang terletak di lokasi strategik, berfungsi sebagai hab pusat TBR.

Brunergy Utama Sdn Bhd merupakan syarikat milik penuh Brunei yang menumpukan pada pembinaan projek infrastruktur utama untuk memacu pertumbuhan ke hadapan di Borneo.

Ditubuhkan pada 21 Oktober 2013, Brunergy pada mulanya dikenali sebagai Mumin Energy (B) Sdn Bhd, terutamanya beroperasi dalam sektor minyak dan gas.

Setahun kemudian, pengasas Danny Chong dan Khalid Haji Abdul Mumin menyelaraskan semula misi syarikat untuk menumpukan pada sistem penghantaran pengangkutan massa untuk Brunei dan negara jiran Malaysia, menamakan semula syarikat itu pada 5 Ogos 2014 kepada Brunergy Utama (B) Sdn Bhd.