JADIKAN PERIBADI, KETERAMPILAN RASULULLAH SAW CONTOH BANGUNKAN KOMUNITI : KM HAJIJI

JADIKAN PERIBADI, KETERAMPILAN RASULULLAH SAW CONTOH BANGUNKAN KOMUNITI : KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji (kanan) menyaksikan Norfadzilah (kiri) menyerahkan plak penghargaan kepada Yahya (tengah) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Masyarakat Islam diseru menjadikan peribadi dan keterampilan Nabi Muhammad SaAW sebagai contoh membangunkan komuniti bertunjangkan Islam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kehebatan Nabi Muhammad SAW terbukti apabila baginda berjaya menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah selepas berlakunya peristiwa Hijrah yang membawa kepada konsep perpaduan di kalangan manusia.

“Jadikan peribadi dan Keterampilan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dalam diri masing-masing, melalui keperibadiannya yang luar biasa mulia dan disanjung itu, Nabi Muhammad SAW berjaya menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar selepas berlakunya peristiwa Hijrah pada 622 Masihi di Madinah.

“Melalui penyatuan kaum ini, bukan sahaja membina hubungan baik antara manusia dengan Allah SWT tetapi juga perubahan era baharu dalam konsep persaudaraan dengan membangunkan model komuniti bertunjangkan Islam dengan menyatupadukan penduduk Madinah yang berbilang kaum dan agama.

“Konsep perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama yang diperkenalkan oleh Rasulullah SAW ini amat penting diteruskan ke arah memastikan lebih banyak kejayaan dan pembangunan dapat dinikmati di negeri ini,” ujarnya ketika berucap merasmikan Program Sabah Berselawat 2024 di Dewan Sa’adah Wisma MUIS, pada Khamis.

Dianggarkan lebih 1,000 umat Islam hadir menjayakan program berselawat tersebut yang dianjurkan bersama Kerajaan Negeri Sabah bersama Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM).

Hajiji menjelaskan, menjadi tanggungjawab umat Islam mengangkat dan mengagungkan kerasulan Nabi Muhammad SAW sebagai Nabi akhir zaman, mengasihi dan mencintainya sepanjang hayat serta mendekati-Nya dengan berselawat kepadanya setiap masa dan ketika.

“Program Sabah Berselawat ini merupakan antara program tonggak RTM Sabah yang turut bertujuan mengimarahkan sambutan Maulidur Rasul dalam kalangan umat Islam di negeri ini khususnya di Kota Kinabalu.

“Berselawat ke atas Rasulullah S.A.W sebenarnya dapat mendidik diri, hati, jiwa dan akal kita untuk menjadi umat yang sentiasa bersyukur di atas segala nikmat yang dikurniakan, melalui berselawat, diharapkan kita sentiasa memperingati sekaligus menjadi umat Islam yang mahukan kejayaan dunia dan akhirat.

“Meskipun tidak berkesempatan bertemu dengan Rasulullah S.A.W, namun kita masih berpeluang untuk mendalami dan mengamalkan sunnah dan sirah Baginda dan ini merupakan antara bukti kecintaan kita kepada Baginda, satu-satunya Nabi dan Rasul yang berupaya memberikan syafaat kepada seluruh umatnya di hari kemudian nanti,” jelas beliau.

Turut hadir, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUT) Sabah, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam; Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Yahya Hussin; Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Seri Rosli Isa. — JABATAN PENERANGAN SABAH