KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan menyatakan sokongan terhadap kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini mengenai tuntutan agar Sabah dan Sarawak diberikan satu per tiga daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.
Tuntutan tersebut menurut beliau adalah wajar dan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menekankan kepentingan dan kedudukan kedua-dua wilayah Borneo dalam Persekutuan Malaysia.
“MBS melihat bahawa pengagihan kerusi Parlimen yang adil dan saksama untuk Sabah dan Sarawak adalah satu keperluan penting bagi memastikan suara serta kepentingan rakyat di wilayah-wilayah ini diwakili dengan lebih baik di peringkat Persekutuan.
“Langkah ini akan memperkukuhkan lagi perpaduan negara, serta memastikan pembangunan ekonomi dan infrastruktur di Sabah dan Sarawak mendapat perhatian yang sewajarnya”, ujar Abqaree dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Abqaree turut menekankan bahawa MBS menyambut baik usaha ini sebagai satu langkah untuk memperkukuh hubungan antara wilayah, serta mewujudkan keadilan politik dan ekonomi yang lebih inklusif selain membuka ruang yang lebih luas kepada belia di negeri itu untuk terlibat dalam proses demokrasi.
“Peningkatan jumlah kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak juga diyakini dapat membawa manfaat jangka panjang kepada kestabilan politik dan pembangunan sosiekonomi di kedua-dua wilayah.
“MBS menyeru agar semua pihak, khususnya kerajaan Persekutuan dan negeri, dapat memberikan sokongan padu kepada tuntutan ini demi keadilan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
“Bukan sahaja keadilan politik dan inklusiviti ekonomi boleh dicapai malah, langkah tersebut akan membuka ruang yang lebih luas kepada belia di negeri ini untuk terlibat dalam proses demokrasi”, Abqaree menambah.
Untuk rekod, Sabah dan Sarawak berkongsi 25 peratus daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen, iaitu sebanyak 56 daripada 222 kerusi berbanding Semenanjung Malaysia.