
LABUAN – Lima pendatang asing tanpa Izin (PATI) termasuk tiga kanak-kanak berumur bawah 10 tahun yang terdiri daripada dua lelaki dan tiga perempuan telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada kira-kira 10.30 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, bot peronda yang sedang dalam rondaan Op Sejahtera telah mengesan bot kayu berwarna biru, putih dan hijau bergerak laju dalam keadaan yang mencurigakan dari Menumbok ke Labuan.
“Pemeriksaan mendapati tekong dan penumpang kesemuanya adalah PATI yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan bot kayu melakukan kesalahan belayar keluar dari had pelayaran yang dibenarkan.
“Kesemua PATI yang ditahan merupakan warga Filipina yang berumur lingkungan 5 tahun sehingga 40 tahun.
“Bot kayu dan kesemua yang ditahan dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
“Kes akan disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (JPDS). Jika sabit kesalahan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Jika didapati bersalah, mereka akan didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang salahlaku jenayah di laut,” tambah Nudin.