KOTA KINABALU, SABAH – Seorang pekerja kilang ikan di Sepanggar, sini, pengsan akibat terhidu gas beracun, malam semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa lelaki berusia 23 tahun dikejarkan ke Hospital dalam insiden kira-kira 8.30 malam itu.
“Terdapat gas beracun berpunca dari sebuah tong berisi ikan yang telah busuk.
“Pasukan hazmat lengkap dengan pakaian pelindunh diri melakukan pemeriksaan di kawasan namun tidak mengesan apa-apa bahan kimia,” katanya.
Terdapat lima orang mangsa berusia antara 19 dan 38 tahun yang dikeluarkan oleh pasukan tersebut.
“Dua orang mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS Bomba manakala dua mangsa lagi dihantar oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam,” tambahnya.
Operasi kemudian ditamatkan pada jam 10.08 malam.