KUALA LUMPUR – LIMA (5) lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, diselamatkan dan pulang ke tanah air semalam.
Kementerian Luar melalui kenyataan malam ini memaklumkan, semua lima individu berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH755 jam 2 petang tadi.
Perkembangan itu menjadikan bilangan kes mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja yang berjaya diselamatkan sehingga hari ini seramai 143 orang, daripada 158 kes yang dilaporkan.
“Daripada bilangan mangsa yang diselamatkan, 29 masih berada dalam depoh tahanan imigresen di Kemboja, manakala selebihnya telah pulang ke tanah air…
“Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh terus giat menjalankan usaha untuk menjejaki rakyat Malaysia, yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket penipuan ini di Kemboja,” menurut kenyataan itu.
Selain Kemboja, Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia yang lain sedang mempergiatkan usaha untuk menyelamatkan rakyat negara ini yang menjadi mangsa sindiket di Laos, Myanmar dan Thailand.
Berdasarkan rekod, seramai 16 orang rakyat Malaysia di Thailand, 27 di Laos dan lima di Myanmar, yang menjadi mangsa sindiket berjaya diselamatkan.
Sementara itu, bilangan yang sedang dijejaki pula seramai 12 orang di Thailand, 28 di Laos dan 54 di Myanmar.
“Kedutaan Besar Malaysia di negara terbabit, akan terus melipatgandakan usaha dan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara berkenaan, dalam usaha mengesan dan menyelamatkan mangsa-mangsa sindiket berkenaan,” kata kenyataan itu.
– BERNAMA