Bukan Sahaja Eksport Bakat Tempatan, Malaysia Juga Mampu Jadi Pengeksport Filem Ke...

Bukan Sahaja Eksport Bakat Tempatan, Malaysia Juga Mampu Jadi Pengeksport Filem Ke Luar Negara

0
SHARE
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil...(Sumber Foto: Bernama)

KUALA LUMPUR – Malaysia bukan sahaja hanya mengeksport bakat tempatan seperti Tan Sri Michelle Yeoh ke luar negara, tetapi meletakkan visi sebagai pengeksport filem.

Kementerian Komunikasi dan Digital melalui menterinya Fahmi Fadzil, berkata negara perlu memanfaatkan bakat dan kemahiran anak seni tempatan seperti Michelle bagi kegunaan domestik, yang boleh dieksport dalam bentuk produk seni seperti filem.

Beliau berkata, kejayaan pelakon kelahiran Ipoh, Perak yang berjaya memenangi anugerah Golden Globe, baru-baru ini wajar dijadikan pembakar semangat untuk meningkatkan kualiti bakat dan hasil karya seni tempatan.

“Kita boleh ubah kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara bukan pengeksport bakat yang menjadi ‘brain drain’ kita tetapi mahu eksport hasil karya seni untuk tatapan dunia,” katanya sewaktu program Bual Konti terbitan RTM yang dipetik Berita Harian.

Pada 11 Januari lalu, Michelle memenangi anugerah pelakon wanita terbaik Golden Globe dalam kategori muzikal/komedi bagi filem “Everything Everywhere All At Once”, sebuah filem komedi sains fiksyen terbitan Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau akan memastikan penambahbaikan dilakukan membabitkan RTM dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ke arah penghasilan lebih kandungan filem yang berkualiti dan bermutu untuk dieksport.

“Kita mesti buat sedikit rekalibrasi bagi FINAS contohnya, bagi pastikan pembikin filem …diberikan beberapa kemudahan tambahan, di samping itu kita bagi insentif,” katanya.

Beliau berkata, filem memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan minda masyarakat.

“Pengalamannya dalam bidang seni menyedarkannya mengenai kesukaran bakat tempatan menceburi bidang perfileman…

“Waktu itu (menceburi bidang seni), pengalaman yang membuka mata bagi saya, macam mana susahnya nak jadi anak seni di Malaysia,” katanya.