Pegawai Antidadah Didakwa Atas Enam Pertuduhan Guna Dokumen Palsu Tuntut Bayaran Program

Pegawai Antidadah Didakwa Atas Enam Pertuduhan Guna Dokumen Palsu Tuntut Bayaran Program

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang pegawai antidadah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di sini pada Khamis atas enam pertuduhan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen bagi menuntut bayaran beberapa program komuniti antara tahun 2018 hingga 2019.

Tertuduh, Bakri Bibi, 53, yang bertugas sebagai pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Gred S48, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Puan Elsie Primus.

Mengikut pertuduhan, Bakri didakwa menggunakan beberapa dokumen pembelian terus pelawaan tawaran harga atas nama Yazied Photostate Centre yang didakwa palsu bagi mendapatkan bayaran perkhidmatan makan minum serta bahan program komuniti yang dianjurkan AADK di daerah Kunak dan Tawau.

Antara tuntutan yang terlibat termasuk bayaran RM2,700 bagi Program Pengaktifan Komuniti di Kunak pada Ogos 2018, RM2,500 bagi Program Khidmat Masyarakat di Kunak, serta beberapa tuntutan lain bagi program kesedaran bahaya dadah dan aktiviti komuniti pada tahun 2019 dengan nilai antara RM2,620 hingga RM4,500.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat AADK Negeri Sabah, Wisma San Hin, Plaza Wawasan antara Ogos 2018 hingga April 2019.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu sebagai tulen yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin tempatan serta deposit RM4,000, selain syarat melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi kes.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 April 2026 sebagai tarikh pengurusan kes.