Lebih 14,000 Data Digital Pekerja Asing Sawit Kinabalu Direkodkan – Jeffrey

Lebih 14,000 Data Digital Pekerja Asing Sawit Kinabalu Direkodkan – Jeffrey

0
SHARE
Jeffrey
Jeffrey duduk kedua kanan ketika sidang media

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah telah mengumpul data digital kira-kira 14,855 warga asing yang bekerja atau tinggal di ladang-ladang Sawit Kinabalu dalam kajian rintis yang dibuat baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata penemuan kajian itu akan dibentangkan semasa mesyuarat kabinet pada 14 Jun depan .

“Kemudian kita jangka meliputi seluruh Sabah termasuk penempatan setinggan dan pulau-pulau menjelang akhir tahun.

“Apabila kita mempunyai data digital semua orang yang tinggal di Sabah, kita akan dapat mengawal selia penduduk di samping memelihara hak asasi manusia.

“Sebab itu kita memerlukan kerjasama penuh majikan dan pekerja buruh asing. Pada masa yang sama kita mesti memastikan tenaga kerja dan sumber yang mencukupi,” katanya pada sidang media di Menara Kinabalu hari ini.

Projek perintis berkenaan dibiayai belanjawan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan.

“Kami belum melibatkan pihak imigresen atau polis lagi. Jika tidak kami tidak akan dapat menjalankan tugas kami.

“Buat masa ini kami tidak dikaitkan dengan mana-mana penguatkuasaan. Mungkin apabila berurusan mengenai dasar kelak semua pihak berkepentingan akan terlibat,” katanya.