Dua Lelaki Filipina Tanpa Dokumen Disyaki Pengebom Ikan Ditahan

Dua Lelaki Filipina Tanpa Dokumen Disyaki Pengebom Ikan Ditahan

0
SHARE
Maritim
Kedua-dua suspek dalam tahanan APMM dalam gambar bersama anggota Taman- taman Sabah ( Sumber Foto: APMM )

LABUAN – Dua warga Filipina yang disyaki pengeboman ikan ditahan Maritim Malaysia (APMM) dalam operasi bersama Taman-taman Sabah di perairan berhampiran Pulau Tiga, sini, pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi Idros berkata, dua lelaki pendatang tanpa izin, 41 dan 44, ditahan bersama bot kayu mereka dalam kejadian 10.30 malam itu.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot menemui tiga botol berisi serbuk putih (ammonium nitrate) disyaki digunakan sebagai bom turut ditemui bersama dua tong digunakan untuk menyimpan hasil tangkapan.

“Bot dan tahanan tersebut telah diiringi ke Jeti APMM Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan kaedah bahan letupan.

Jumlah nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 20,000.

Izwanhadi menegaskan bahawa aktiviti bom ikan adalah dilarang sama sekali oleh undang-undang dan memusnahkan kehidupan marin dan juga manusia.

“Operasi di laut sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan hidup.

“Maritim Malaysia menggesa aktiviti pengeboman ikan dihentikan kerana tindakan tegas akan diambil terhadap pelaku kegiatan ini.

“Operasi dan rondaan berkala akan dilakukan sepanjang masa bagi memastikan keamanan dan ketenteraman Zon Maritim Malaysia sentiasa terpelihara dan pematuhan berada pada tahap tertinggi,” katanya.