Jalan Lalapakon Tambunan Runtuh Akibat Hujan Lebat

Jalan Lalapakon Tambunan Runtuh Akibat Hujan Lebat

0
SHARE

TAMBUNAN, SABAH – Ratusan penduduk terputus hubungan apabila Jalan Lalapakon-Tambunan di sini, runtuh selepas hujan lebat berterusan melanda kawasan pantai barat dan pedalaman Sabah sejak pagi ini.

Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Tambunan mengesahkan laluan sepanjang 50 meter di kawasan itu runtuh hingga tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

Bagaimanapun, katanya, penduduk terjejas boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pupuluton, untuk keluar masuk dari kampung ke laluan utama menghubungkan pekan Tambunan.

“Tanah runtuh dikesan kira-kira jam 9 pagi tadi. Kami sudah memasang papan tanda amaran bagi memaklumkan kepada pengguna mengenai keadaan itu.

“JKR dan kontraktor penyelenggaraan jalan akan memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Difahamkan, kejadian itu berpunca daripada hujan lebat dan masalah saluran air tersumbat yang menyebabkan air bertakung dan melembutkan tanah di kawasan berbukit sebelum runtuh.

Kerja pembaikan dijangka mengambil masa berikutan keadaan tanah runtuh yang kritikal.