TAWAU: Seorang tukang rumah ditahan polis selepas disyaki merosakkan harta benda milik majikannya dalam satu kejadian khianat di Kampung Kausing, di sini, Disember lalu, dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan bayaran gaji.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian itu disedari oleh pemilik rumah, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun, selepas dimaklumkan oleh pekerjanya ketika melakukan kerja pemasangan lampu di kediaman berkenaan kira-kira jam 1.50 petang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai telah merosakkan beberapa bahagian rumah termasuk mozek ruang tamu, mozek dan dinding tandas, singki serta pintu tandas, menyebabkan kerugian dianggarkan sebanyak RM1,500.
“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau telah menahan suspek berusia lingkungan 40-an yang juga seorang warga asing di sebuah rumah di Kampung Air, Batu 4 Jalan Apas kira-kira jam 5.30 petang Sabtu lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
ACP Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyelesaikan sebarang pertikaian berkaitan pekerjaan atau bayaran gaji secara berhemah dan mengikut saluran undang-undang bagi mengelakkan tindakan yang boleh membawa padah.






