KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM113,171,400 untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini bagi menaja seramai 11,294 orang pelajar di dalam dan luar negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata berbanding tahun 2023, peruntukan itu telah bertambah daripada RM55 juta kepada RM101 juta dengan penambahan ASP sebanyak RM12,171,400.
Penambahan peruntukan itu katanya bagi membolehkan lebih ramai anak-anak Sabah yang kurang berkemampuan berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sentiasa prihatin dan memberi keutamaan kepada Pembangunan Modal Insan bagi menyediakan pemimpin yang bakal mencorakkan masa depan wilayah Sabah.
“Justeru, Kerajaan Sabah komited agar tidak ada yang terpinggir daripada menerima pendidikan di negeri ini, termasuk mereka yang tidak mempunyai tajaan.
“Kerajaan Negeri akan sentiasa memastikan anak-anak Sabah dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi melalui bantuan-bantuan Pendidikan yang di sediakan dari peringkat sekolah hingga ke Institusi Pengajian Tinggi.
“Selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk Pembangunan Modal Insan bagi meningkatkan taraf pendidikan anak-anak Sabah, BKNS telah menawarkan biasiswa penuh kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, ” katanya.
Arifin yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata, tahun ini seramai 331 orang pelajar yang menuntut pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuklah di kampus Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus Sandakan mendapat tajaan daripada BKNS.
“Jumlah keseluruhan pelajar UMS yang aktif (di bawah tajaan BKNS) adalah seramai 1217 orang dan hari ini seramai 218 orang pelajar hadir dalam Majlis Penyampaian BKNS untuk diraikan.
“Diharapkan penyampaian ini akan dapat memberi motivasi kepada pelajar untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik dan tekad dalam pembelajaran, ” katanya.
Selain BKNS, seramai 19 orang penerima pada hari ini turut menerima sumbangan dari Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang diilhamkan Ketua Menteri sebagai usaha membantu lebih ramai pelajar yang memerlukan bantuan Pendidikan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
“Kerajaan Negeri Sabah juga amat berbangga dengan pencapaian pelajar-pelajar dan para pendidik kita yang mengharumkan nama Negeri Sabah dengan memenangi pelbagai kategori pertandingan di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
“Pada hari ini, seramai 11 penerima akan menerima Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA). Dan diharap penganugerahan ini akan menjadi pembakar semangat dan pendorong pelajar dan pendidik yang lain meraih lebih banyak kecemerlangan yang membanggakan negeri,” katanya.