PENAMPANG, SABAH – Peserta dari Perak, Choo Kok Wei dan wakil Labuan, Faridah Idah Mohamad mengungguli Sukan Orang Kuat atau Tuhun Tavakas Kaamatan 2024.
Choo, 33, muncul pemenang kategori lelaki dengan memungut mata tertinggi untuk empat disiplin iaitu 12 markah bagi Tyre Flip, Buffalo Pull (12 markah), Yoke Walk (11 markah) dan 12 mata menerusi disiplin Bus Pull.
Sementara, bagi cabaran Hercules Hold, meskipun hanya memungut dua mata Choo tetap hebat mengumpul 49 markah secara keseluruhan untuk muncul juara StrongMan mengatasi pencabar terdekat dari Brunei, Mohd. Hamizan Zainal.
Hamizan berada di tangga kedua memperolehi 48 mata disusuli peserta dari Labuan, Desmond Chan di tempat ketiga dengan 45.5 markah.
Selaku juara, Choo membawa pulang RM1,200 sementara naib juara menerima RM600 dan tempat ketiga mendapat RM400.
Manakala bagi kategori wanita (Novis), peserta dari Labuan menguasai cabaran apabila menduduki tiga tempat teratas dengan juara disandang Faridah, 41 memungut markah keseluruhan sebanyak 58 mata membawa pulang hadiah wang tunai RM800.
Di samping itu, beliau turut membolot hadiah kategori wanita bagi tiga disiplin memungut 12 mata masing-masing bagi disiplin Buffalo Pull, Yoke Walk dan Bus Pull.
Naib johan StrongWoman pula dimenangi oleh Yatt Norhayati Gunianto (49 mata) membolot wang tunai RM600 dan Effalin Ilham di tempat ketiga dengan 48 mata menerima RM400.
Seramai 13 peserta lelaki dan 15 peserta wanita menyertai pertandingan yang diselaraskan oleh Penyelaras Orang Kuat dan Ninja Warrior Sabah, Roger Frederick yang merupakan salah satu pengisian Pertandingan Sukan Tradisi Sempena Pesta Kaamatan 2024 yang berlangsung dua hari di SMK Bahang bermula 30 Mei. — JABATAN PENERANGAN SABAH