
PENAMPANG, SABAH – Orang ramai dijemput memeriahkan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang pada 22 Mei ini.
Pegawai Daerah, Francis Chong berkata sambutan tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick merangkap Ahli Parlimen Penampang di Dewan Buhavan Square, Donggongon.
“Kita menjemput orang ramai hadir dan memeriahkan pelbagai acara yang dianjurkan bertujuan untuk memberikan suasana Kaamatan yang sebenar untuk dinikmati khasnya kepada warga Penampang antaranya pertandingan sukan tradisi, pertandingan masakan tradisional, pertandingan ‘Magagung’ dan pertandingan sumazau yang akan diadakan di Padang B, Lembaga Sukan Penampang.
“Acara Sodop Unduk Ngadau pula akan diadakan di Putra Ballroom, Bukit Padang pada 16 Mei ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Penampang di Pejabat Daerah Penampang.
Manakala Pertandingan Akhir Sugandoi Penampang telah berlangsung pada empat Mei lepas di Pentas Terbuka Kadazan Dusun Cultural Association Sabah (KDCA) dan pada 18 Mei kelak akan diadakan pameran pelbagai jabatan serta agensi kerajaan. — JABATAN PENERANGAN SABAH





