
PENAMPANG, SABAH – Seramai 214 usahawan belia bumiputera Sabah berjaya dilatih tahun ini melalui bantuan geran berjumlah RM3 juta di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata peserta yang berjaya menamatkan latihan Program TUBE-X tersebut akan menerima bantuan geran permulaan perniagaan sehingga RM15 ribu seorang.
“Program TUBE-X menawarkan latihan keusahawanan menyeluruh kepada peserta dan dapat membantu mereka membuat perancangan perniagaan berdasarkan minat, peluang persekitaran, menanam semangat keusahawanan dan memupuk daya tahan serta jati diri.
“Pada tahun ini selepas tiga tahun pelaksanaan Program TUBE secara dalam talian akibat pandemik COVID-19, program ini kembali diadakan secara bersemuka agar tempoh pengajaran dan latihan keusahawanan dapat dimaksimakan dan secara tidak langsung mewujudkan jaringan sesama peserta.
“Sehingga Disember 2023, seramai 7,738 peserta TUBE mengambil bahagian dan peserta dari Sabah merupakan yang tertinggi menyertai program TUBE iaitu seramai 1,444 (18.66 peratus).
“Peserta Alumni TUBE Sabah juga berjaya mewujudkan sebanyak 2,039 peluang pekerjaan di Sabah dengan nilai jualan perniagaan terkumpul sebanyak RM20.65 juta,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan Program TUBE-X Zon Sabah di sini pada Ahad.
Program berbentuk latihan asas keusahawanan yang telah dijenamakan sebagai TUBE-X bersempena dengan tahun ke-10 penganjurannya itu dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) selama tujuh hari bermula 6 Mei lalu.
Ewon turut memaklumkan sebagai kesinambungan bantuan kepada usahawan yang baru bermula, SME Corporation Malaysia turut menyediakan geran di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) sehingga RM500,000 bagi meningkatkan lagi produktiviti dan keupayaan perniagaan yang telah diusahakan.
“Sehingga 30 April lalu, sebanyak 868 permohonan diluluskan berjumlah RM105.11 juta sejak dilaksanakan mulai tahun 2021.
“Daripada jumlah itu, 32 PMKS dari Sabah telah diluluskan geran sebanyak RM5.30 juta di samping 74 usahawan mikro Sabah mendapat kelulusan geran sebanyak RM5.87 juta di bawah Program Mikro Madani,“ ujarnya.
Dalam pada itu, Ewon turut menyatakan peserta usahawan belia bumiputera juga boleh menambah modal kerja perniagaan melalui pembiayaan mudah (soft loan) secara digital menerusi Program Tunas-i yang dikendalikan oleh SME Corp dengan kerjasama Funding Societies (Modalku Venture Sdn Bhd).
Turut hadir, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia Rizal Nainy, Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani DmAhmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor. — JABATAN PENERANGAN SABAH





