KOTA KINABALU: Parti Warisan mengesahkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, dengan menamakan bekas ADUN Sukau, Saddi Abdul Rahman sebagai calon Parlimen Kinabatangan (P187) dan Mazliwati Abdul Malik Chua sebagai calon DUN Lamag.
Pengumuman itu dibuat Naib Presiden Warisan, Darell Leiking pada satu majlis di sini, yang disifatkannya sebagai langkah awal parti berkenaan untuk memenangi lebih banyak kerusi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Menurut Darell, keputusan Warisan bertanding pada PRK berkenaan bukanlah satu bentuk ketidakhormatan terhadap Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, sebaliknya berlandaskan keperluan meneruskan mandat rakyat melalui proses demokrasi yang sah.
“Keputusan ini lahir daripada kepercayaan bahawa mandat rakyat mesti diteruskan dan tanggungjawab mewakili rakyat hanya boleh dilaksanakan melalui proses berperlembagaan,” katanya, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini, hari ini.
Beliau berkata, Warisan menjadikan PRK Kinabatangan sebagai titik permulaan kebangkitan parti tempatan berasaskan Sabah dalam memperjuangkan kepentingan rakyat negeri ini di peringkat nasional.
Darell turut menjelaskan Saddi dipilih sebagai calon Parlimen Kinabatangan kerana beliau merupakan anak tempatan yang berpengalaman serta memahami keperluan dan aspirasi masyarakat setempat. Saddi menyertai Warisan pada 1 November tahun lalu.
Bagi DUN Lamag, Darell berkata Mazliwati mendapat kepercayaan penuh pimpinan parti untuk mewakili Warisan, meskipun beliau tidak dapat hadir pada majlis pengumuman calon berikutan urusan keluarga.
PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu, yang sebelum ini menyandang kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.






