Kota Belud Daerah Ketiga Dilanda Banjir, Jumlah Mangsa Terjejas Terus Meningkat

Kota Belud Daerah Ketiga Dilanda Banjir, Jumlah Mangsa Terjejas Terus Meningkat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Daerah Kota Belud menjadi daerah ketiga di Sabah yang dilanda banjir susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu, dengan jumlah penduduk terjejas terus meningkat setakat tengah hari, hari ini.

Menurut laporan Perkembangan Harian Bencana Negeri Sabah yang dikeluarkan Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah (SDCC), satu lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Kota Belud, sekali gus menjadikan keseluruhan empat PPS kini beroperasi di tiga daerah terjejas.

Setakat jam 12 tengah hari, seramai 187 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 534 penduduk direkodkan terjejas akibat banjir di daerah Beaufort, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Beaufort kekal sebagai daerah paling teruk terjejas dengan 120 KIR membabitkan 342 penduduk dari lapan kampung.

Di Kota Kinabalu pula, seramai 63 KIR melibatkan 175 penduduk dipindahkan ke PPS Dewan Masjid Al Munir, Kampung Darau, manakala di Kota Belud, 17 penduduk daripada empat KIR ditempatkan di PPS Dewan Kampung Lentigi.

Satu llagi PPS di Dewan Masyarakat Tun Said masih dalam proses pendaftaran mangsa.

Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah memaklumkan tiada kematian dilaporkan setakat ini, manakala semua mangsa yang terjejas sedang menerima bantuan dan pemantauan berterusan daripada agensi berkaitan.

Orang ramai di kawasan berisiko dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan, sementara operasi pemantauan dan bantuan banjir terus dipergiat di seluruh daerah terlibat.