Banjir di Sepanggar Paling Teruk, Projek Tebatan Banjir Rampayan Sedang Berjalan –...

Banjir di Sepanggar Paling Teruk, Projek Tebatan Banjir Rampayan Sedang Berjalan – Mustapha

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di Parlimen Sepanggar baru-baru ini disifatkan sebagai antara yang paling teruk berlaku sejak sekian lama sehingga memaksa ramai penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), kata Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud.

Mustapha yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, usaha menangani masalah banjir di kawasan berkenaan sedang giat dilaksanakan menerusi Projek Tebatan Banjir Rampayan yang kini dalam pembinaan.

Menurut beliau, peruntukan bagi Projek Tebatan Banjir Rampayan Fasa 2 turut telah diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai kesinambungan kepada langkah penyelesaian jangka sederhana dan panjang bagi masalah banjir di kawasan terbabit.

“Perkara ini menjadi keutamaan kami di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar untuk terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak kontraktor bagi meneliti langkah penambahbaikan yang diperlukan.

“Ini termasuk memastikan pelaksanaan projek sedia ada berjalan lancar dan perancangan susulan benar-benar memberi impak kepada penduduk di kawasan terlibat,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau turut mengakui amat memahami keluhan dan kemarahan rakyat yang mengalami kerugian ribuan ringgit akibat bencana banjir berkenaan.

“Atas sebab itu, setiap kali berada di kawasan, saya secara peribadi akan berhadapan dengan pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan projek tebatan banjir ini dapat diselesaikan secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.

Mustapha menegaskan komitmennya untuk memastikan usaha menangani masalah banjir di Sepanggar dilaksanakan secara berterusan demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat.