Semua Jabatan, Agensi di Bawah MINDET Diarah Bentang Laporan Kesiapsiagaan Banjir

Semua Jabatan, Agensi di Bawah MINDET Diarah Bentang Laporan Kesiapsiagaan Banjir

0
SHARE

KOTA BELUD: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah, Datuk Ewon Benedick mengarahkan semua jabatan, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kementerian itu supaya membentangkan laporan kesiapsiagaan masing-masing bagi menghadapi situasi banjir yang sedang melanda beberapa kawasan di negeri ini.

Beliau berkata, langkah berkenaan penting bagi memastikan kementerian serta jabatan dan agensi berkaitan dapat mengambil tindakan segera, terancang dan berkesan sekiranya berlaku sebarang kejadian luar jangka.

“Saya akan mendapatkan laporan daripada Setiausaha Tetap selaku Ketua Perkhidmatan Awam dari semasa ke semasa mengenai perkara ini.

“Pada Rabu ini, saya akan mempengerusikan Mesyuarat Kementerian yang melibatkan semua jabatan, agensi dan GLC di bawah MINDET selepas Mesyuarat Kabinet,” katanya.

Menurut Ewon, antara fokus utama mesyuarat tersebut ialah tahap kesiapsiagaan jabatan dan agensi berkaitan dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, khususnya berkaitan pengurusan dan tindak balas terhadap bencana banjir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2026 Kadamaian di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.

Ketika ini, dua pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka melibatkan daerah Kota Belud dan Beaufort susulan situasi banjir yang berterusan.

Mengulas lanjut, Ewon berkata situasi banjir di Beaufort perlu diberi perhatian serius kerana berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna perkhidmatan kereta api di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau akan meminta Jabatan Keretapi Negeri Sabah dan jabatan berkaitan membentangkan laporan terperinci mengenai keadaan semasa, termasuk langkah mitigasi yang sedang dan akan dilaksanakan.

“Setakat ini saya belum menerima laporan mengenai penangguhan perkhidmatan kereta api, namun perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat kementerian pada Rabu ini.

“Sekiranya terdapat keperluan untuk menangguhkan perkhidmatan kerana laluan tidak selamat, keputusan itu adalah langkah terbaik kerana keselamatan mesti menjadi keutamaan,” katanya.

Ewon turut menegaskan aspek keselamatan tidak boleh dikompromi walaupun perkhidmatan kereta api Beaufort–Kota Kinabalu digunakan oleh ramai penumpang, termasuk penjawat awam yang berulang-alik ke tempat kerja.