KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Razali Razi atau lebih dikenali sebagai Datuk Bob, diumumkan sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DU) Darau atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pemilihan beliau dilihat sebagai langkah mengekalkan kepimpinan berpengalaman dalam gabungan itu, meskipun GRS memperkenalkan hampir 35 peratus muka baharu pada pilihan raya kali ini.
Razali menegaskan bahawa penilaian calon bukan hanya berdasarkan angka atau usia, tetapi pada rekod khidmat dan penerimaan masyarakat di kawasan masing-masing.
“Yang penting ialah perkhidmatan kepada rakyat, bukan sekadar angka muka baharu. Kami yakin calon-calon kami, termasuk di Darau, telah berkhidmat dengan baik dan mampu menang,” katanya kepada pemberita selepas menerima watikah pelantikan calon di Majlis Pengumuman Calon GRS sempena Pilihan Raya Umum ke-17 Sabah di sini hari ini.
Berusia 56 tahun, Razali merupakan pengamal undang-undang sejak tahun 1994 dan kini mengetuai Bahagian PGRS Darau. Beliau juga berkahwin dan dikurniakan empat anak perempuan.
Dalam pada itu, Razali menekankan keperluan memperbaiki sistem pengurusan kampung dan taman perumahan melalui penubuhan Majlis Pengurusan Kampung (MPK) yang melibatkan kepimpinan kampung, belia dan NGO tempatan.
Selain itu, beliau turut memberi fokus kepada pembangunan belia, termasuk rancangan untuk mewujudkan pusat belia di setiap kampung bagi memperkasa peluang ekonomi dan keusahawanan anak muda.






