PRU Sabah: Tubuh Majlis Kampung dan Taman, Antara Agenda Razali di Darau

PRU Sabah: Tubuh Majlis Kampung dan Taman, Antara Agenda Razali di Darau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menubuhkan Majlis Pengurusan Kampung dan Taman antara agenda utama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Datuk Mohamed Razali Razi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17.

Jelas Razali yang juga Setiusaha Eksekutif GRS, penubuhan itu bertujuan memperkukuh tadbir urus di peringkat akar umbi serta memastikan suara rakyat disalurkan dengan lebih berkesan dan telus.

Menurut beliau, majlis itu akan menjadi platform rasmi penyelarasan dan komunikasi antara kepimpinan kampung, belia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekaligus memastikan pelaksanaan dasar dan pembangunan di peringkat komuniti dapat digerakkan secara tersusun dan inklusif.

“Kita mahu wujudkan satu sistem pentadbiran di kampung dan taman yang lebih tersusun dan terbuka. Melalui Majlis Pengurusan Kampung dan Taman ini, kita akan libatkan semua pihak termasuk ketua kampung, belia dan NGO supaya setiap suara, cadangan dan keperluan rakyat dapat dibincang bersama,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman calon GRS bagi PRU DU Sabah ke-17 di sini, hari ini.

Razali merupakan antara calon GRS yang telah diumumkan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini untuk mewakili kawasan DUN Darau.

Dalam pada itu, Razali yang juga Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, cadangan tersebut lahir daripada pemerhatian terhadap kelemahan komunikasi dan penyelarasan di peringkat komuniti, yang sering menjadi punca kepada kelewatan penyelesaian masalah setempat.

“Daripada pengalaman lalu, kita lihat banyak isu di kampung berpunca daripada kurang komunikasi dan tiada penyelarasan yang baik. Majlis ini akan menjadi jambatan baharu antara rakyat dan kerajaan negeri,” jelasnya.

Selain memperkukuh tadbir urus komuniti, Razali turut menegaskan komitmennya untuk memperkasakan golongan belia melalui penubuhan pusat belia di setiap kampung serta pelaksanaan pelbagai program keusahawanan dan latihan kemahiran, bagi membuka peluang ekonomi dan pembangunan modal insan.

“Kita mahu belia bukan sekadar penonton tetapi sebahagian daripada kepimpinan kampung. Mereka perlu diberi ruang untuk merancang, memimpin dan menyumbang idea bagi membina masa depan Darau,” katanya.

Mengulas komposisi calon GRS yang menampilkan kira-kira 35 peratus muka baharu, beliau berkata langkah itu menunjukkan keseimbangan antara pengalaman dan tenaga muda, namun menegaskan bahawa ukuran sebenar tetap bergantung kepada rekod khidmat calon kepada rakyat.

“You may have new faces, you may have youth as your candidates, but at the end of the day, penilaian dibuat kepada calon yang telah berkhidmat di kawasan masing-masing. Yang penting bukan angka, tetapi khidmat dan hasil kerja untuk rakyat,” katanya.

Razali, 56 tahun, merupakan seorang peguam yang telah berkhidmat sejak 1994 dan aktif dalam kepimpinan parti.

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa fokus utamanya di Darau ialah memastikan sistem pentadbiran kampung dan taman menjadi lebih efisien, belia diberdayakan, dan setiap dasar pembangunan berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat.