PBB Gesa Israel Tarik Balik Keputusan Bina Penempatan Haram Di Palestin

PBB Gesa Israel Tarik Balik Keputusan Bina Penempatan Haram Di Palestin

0
SHARE

GENEVA, SWITZERLAND – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, semalam menggesa Israel menghentikan dan menarik balik keputusannya minggu lalu untuk membina 800 unit penempatan haram Yahudi di wilayah didudukinya di Tebing Barat.

Memetik laporan AFP, Guteres memaklumkan keputusan itu akan menjadi penghalang terbesar untuk mencapai penyelesaian dua negara, perdamaian yang adil, kekal dan menyeluruh di Asia Barat.

Antonio Guterres…

“Pembinaan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk di timur Baitulmaqdis adalah tidak sah dan secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa…

“Perluasan penempatan haram ini… menjadikan kemungkinan berakhirnya pendudukan Israel semakin tipis dan lahirnya sebuah negara Palestin yang berdaulat dan maju,” katanya.

Ahad lalu, Israel meluluskan pembinaan 780 unit penempatan di Tebing Barat selepas ia diarahkan oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Ketika ini, terdapat kira-kira 450,000 pendatang Yahudi yang tinggal di Tebing Barat bersama lebih 2.7 juta penduduk Palestin.