KENINGAU, SABAH – Rakyat di negeri ini disarankan agar terus menyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam usaha memelihara kestabilan politik untuk memacu proses pembangunan demi kemajuan dan kesejehteraan rakyat di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Dato’ Sri Bung berkata, walaupun belum sampai setahun kerajaan GRS mengambil alih tampuk pemerintahan di negeri ini, pelbagai usaha dan inisiatif telah dilakukan oleh kerajaan untuk membantu rakyat disamping membangunkan negeri Sabah.
Menurutnya, Kerajaan negeri telah membentangkan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (Pelan SMJ) 2021-2025, iaitu kerangka hala tuju dan strategi bagi terus memacu ekonomi negeri dan sosio-ekonomi rakyat.
“Sebaik sahaja kerajaan GRS mengambil alih pemerinthaan sejak 29 Sept tahun lepas ,kita berhadapan realiti dan kedudukan ekonomi amat mencabar kerana itu kerajaan perlu bertindak segera untuk menangani penyusutan pertumbuhan sektor serta subsektor tertentu, dan mengenal pasti sumber baharu untuk memperkukuh serta meningkatkan hasil negeri,” katanya ketika berucap di majlis makan malam bersama gabungan GRS di Taman Bandukan Riverside Resot Keningau baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri II yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellrom Alfred Angin, dan Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik.

Sehubungan dengan itu Bung yang juga Menteri Kerja Raya mengajak pemimpin dan rakyat mempertahankan momentum kerjasama bagi memastikan apa juga yang dirancang oleh kerajaan dapat dilaksanakan sepenuhnya demi kebaikan negeri dan rakyat secara keseluruhannya.
Menurut Bung, ini merupakan masa yang sesuai bagi semua pihak untuk bekerja keras dalam membangunkan negeri dengan mengenepikan soal politik di mana negeri ini amat jauh ketinggalan dari segi pembangunan ekoran daripada terlalu berpolitik.
“Di peringkat Pusat kita sudah mengadakan pilihanraya sebanyak 14 kali, di negeri Sarawak baru 11 kali tapi kita di Sabah sudah 16 kali, masa dihabiskan untuk pilihanraya menyebabkan kita hilang fokus untuk membangunkan negeri ini,” Jelas Bung.
Dalam pada masa yang sama, Bung turut memaklumkan kedudukan sosio-ekonomi rakyat perlu diletakkan pada unjuran keutamaan melalui usaha yang menjurus kepada sasaran untuk meningkatkan ekonomi rakyat,
Beliau berkata Pelan SMJ 2021-2025 menggariskan TIGA (3) elemen utama iaitu sektor Pertanian, Perindustrian dan Pelancongan sebagai fokus pertumbuhan ekonomi; modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
Dalam pada itu, Bung berkata Kerajaan persekutuan telah meluluskan sejumlah RM600 juta bagi pembinaan jalan menghubungkan Serudong di Kalabakan Tawau dengan Simanggaris Kalimantan Indonesia yang akan membawa perubahan besar dalam memacu sektor ekonomi negeri.
“Justeru, rakyat perlu bersedia merebut peluang yang ada terutamanya dalam sektor pelancongan dengan menghasilkan produk-produk yang boleh dipasarkan kepada pelancong terutamanya daripada Indonesia apabila projek lebuh raya ini siap dilaksanakan,” tambah Bung.