Joanne Duke Tampil Dengan Single Baharu ‘Tek Tik Kotor’

Joanne Duke Tampil Dengan Single Baharu ‘Tek Tik Kotor’

0
SHARE
Joanne
Poster single 'Tek Tik Kotor' oleh Joanne Duke

KUALA LUMPUR – Penyanyi baharu tanah air, Joanne Duke tampil dengan single terbarunya, ‘Tek Tik Kotor’ di bawah naungan syarikat rakaman Sony Music Entertainment.

Bakat baru kelahiran Kuching, Sarawak yang pernah mengeluarkan lagu berjudul ‘Cinta Tidak Buta’ itu berkata lagu terbabit berkaitan dengan lelaki bermulut manis yang suka mempermainkan wanita.

“Lagu ini sebenarnya ditujukan khas buat para jejaka ‘sweet talker’ atau bermulut manis dan suka mempermainkan perasaan wanita.

“Ia juga memberi pesanan kepada gadis-gadis di luar sana untuk menjaga diri dan maruah terutamanya yang baru mengenali dunia. Apatah lagi kalau berkenalan melalui media sosial.

“Jangan mudah percaya jika lelaki yang baru kita kenali memanggil kita dengan gelaran ‘sayang’, ‘baby’ dan sebagainya. Ini kerana dari situ sahaja kita sudah nampak bahawa mereka mungkin akan mempermainkan kita.

“Ambil masa yang secukupnya untuk mengenali seseorang agar hati kita tidak disakiti,” katanya.

Menceritakan tentang proses rakaman lagu pula, Joanne menyatakan beliau berdepan dengan cabaran untuk menyanyikan lagu dengan nada seksi berikutan ia bertentangan dengan sikapnya yang pemalu.

“Saya juga biasanya mengambil masa untuk rasa selesa dengan orang yang baru dikenali. Tapi semuanya berjalan lancar.

“Saya sangat berterima kasih kepada para pencipta dan penulis lagu iaitu kumpulan Klangit dan juga produser lagu ini, Koh Kok Boon kerana telah menghasilkan lagu ini dengan baik.

“Semoga lagu ini mendapat sambutan hangat dan boleh dijadikan trend atau cabaran di aplikasi media sosial seperti TikTok dan juga Instagram,” katanya.