Sabah FC Menentang Kedah FC, Tiada Had Penonton Dibenarkan Hadir

Sabah FC Menentang Kedah FC, Tiada Had Penonton Dibenarkan Hadir

0
SHARE
Ketua Penyelaras Venue Sabah FC, Shamsuddin Mohd Shah...

KOTA KINABALU, SABAH – Tiada had kapasiti penonton dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan Liga Super antara Sabah FC menentang Kedah FC di Stadium Likas, di sini, Ahad ini.

Namun, ia masih tertakluk kepada penetapan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan fizikal sebelum, semasa dan selepas perlawanan…

Ketua Penyelaras Venue Sabah FC, Shamsuddin Mohd Shah berkata, keputusan kebenaran itu dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam, menerusi surat rasmi yang dikeluarkan kepada Sabah FC, semalam.

Namun katanya, hanya 1,000 tiket dijual secara fizikal mengikut harga sama iaitu 400 tiket untuk tempat duduk grandstand yang dijual pada harga RM39.14

“Manakala bagi zon Old Fortres, sebanyak 300 tiket dijual pada harga RM28.84 dan bagi zon ‘PT’ dan ‘Score Board’ pula keseluruhan sebanyak 300 tiket dijual pada harga RM18.60.

“Perlawanan dijadualkan akan bermula jam 9.15 malam dan penyokong dibenarkan masuk ke stadium bermula jam 7.30 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, seorang individu hanya dibenarkan membeli empat keping tiket namun perlu membawa senarai nama dan nombor telefon penonton dalam format excel.

“Penjualan tiket fizikal dibuka bermula jam 10 pagi hingga 4 petang setiap hari, di pejabat Sabah FC (Industri E33 Likas) di Batu 2, Jalan Tuaran, di sini. Manakala selebihnya dijual secara atas talian.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pegawai Sabah FC, Stella di talian 016-8503834,” katanya.

Sementara itu, Shamsuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) berkata, pihak SAFA akan tetap memandang serius terhadap pematuhan SOP berkaitan pencegahan Covid-19 ditetapkan.

“Kita sekali lagi ingin mengingatkan penonton yang hadir supaya memakai pelitup muka sepanjang perlawanan namun aktiviti makan minum ketika berada di stadium dibenarkan…

“Penonton juga tidak dibenarkan membawa botol minuman, payung dan helmet masuk ke dalam stadium,” katanya.

Menurutnya, pihak MFL juga membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah masuk dengan membeli tiket dan ditemani atau dipantau ibu bapa serta penjaga yang lengkap menerima vaksinasi Covid-19 masuk ke stadium.

“Penonton juga perlu menjaga penjarakan fizikal, duduk di tempat yang disediakan dan larangan berkumpul beramai-ramai.

“Kita berharap semua penyokong Sabah FC kekal berdisiplin serta mematuhi SOP yang ditetapkan,” tegasnya.