DBKK Akan Kenakan Kompaun Kepada Individu Buang Sampah Di Taman Awam

DBKK Akan Kenakan Kompaun Kepada Individu Buang Sampah Di Taman Awam

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Keindahan semula jadi negeri kita tidak akan dapat bersinar sepenuhnya dengan corak pemikiran segelintir penduduk yang masih gelap.

Taman-taman awam di sekitar bandaraya ini menjadi kawasan beriadah warga Kota Kinabalu namun budaya pembuangan sampah merata berleluasa walaupun tong sampah sudah disediakan.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menekankan bahawa sikap itu mencacatkan pandangan bandaraya ini.

“DBKK mempercayai pembuangan sampah di merata-rata tempat ini dilakukan oleh orang awam yang singgah berehat pada waktu tengah malam…

“Tong-tong sampah di taman-taman awam ini juga telah diselongkar oleh anjing-anjing liar,” tegasnya.

Secara rutin pekerja lapangan Jabatan Landskap, DBKK membersihkan kawasan tersebut seawal pagi setiap hari sebelum kehadiran pengunjung.

Katanya ia bagi memastikan keselesaan mereka semasa melakukan aktiviti riadah dan rekreasi tidak terganggu.

Kerja-kerja yang dibuat pada subuh hari ini seolah dianggap remeh masyarakat mungkin kerana jarang dilihat tetapi bebanan kerja begitu mudah ditambah.

“DBKK akan mengenalpasti individu yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dan tindakan tegas akan diambil termasuk kompaun sehingga RM500 di bawah Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap DBKK 1984 Pindaan 2005 atau didakwa di Mahkamah,” tegasnya lagi.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara dua (2) tahun atau menjalani hukuman khidmat masyarakat selama empat (4) jam sehari dalam tempoh tidak melebihi tiga (3) bulan.

“Para pengunjung diingatkan untuk terus peka dan prihatin akan kebersihan kawasan-kawasan awam khususnya taman-taman awam yang menjadi tumpuan orang ramai…

“DBKK juga memohon agar para pengunjung bersama-sama bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan dan kemudahan awam yang disediakan di kawasan tersebut,” katanya lagi.

Taman-taman Awam sekitar Kota Kinabalu, Sabah…

Mengekalkan keindahan alam semula jadi kita, adalah tanggungjawab bersama sebagai penduduk negeri yang tercinta.

Di atas tanah inilah yang kita diami dan juga akan kembali. Taraf kemajuan sesebuah negara dipikul penduduknya sendiri.

Jika ingin berdaya saing dan selesa seperti Jepun, ataupun yang lebih dekat, Singapura, tabiat itu perlu bermula dengan kita.