BEAUFORT, SABAH – Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Ag Aslee Lakat menggesa Jabatan Air Daerah Beaufort dan Kuala Penyu supaya mengambil tindakan menangani masalah bekalan air paip yang keruh dihadapi oleh penduduk daerah tersebut kebelakangan ini.
Katanya, keadaan air yang berwarna seperti minuman ‘milo’ itu terpaksa dihadapi penduduk untuk kegunaan harian mereka.
“Air keruh yang mengalir dalam paip penduduk sangat menyedihkan dan Jabatan Air perlu mengambil tindakan segera untuk menanganinya,” katanya dalam satu hantaran di akaun Facebooknya hari ini.
Menurut beliau, jabatan terbabit perlu memberi penjelasan kepada penduduk kenapa bekalan air ke Kuala Penyu dan Menumbok berwarna perang beberapa minggu ini.
“Jangan tunggu sampai penduduk hilang kesabaran,” katanya.
Ag Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah, berkata jabatan berkenaan seharusnya tampil memberi penjelasan munasabah supaya penduduk tidak terlalu kecewa dan mempersoalkan peranan pegawai-pegawainya dalam menjalankan tugas mereka.
Tambah beliau, pihaknya berkeyakinan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Bung Moktar Radin tidak mengizinkan situasi sedemikian terpaksa dihadapi rakyat khususnya di Kuala Penyu dan Menumbok.
“Justeru, kakitangan Jabatan Air patut melakukan sesuatu yang sesuai dengan tugas yang diamanahkan kepada mereka,” ujar Ag Aslee.
Sementara itu, ribuan penduduk yang terlibat berasa terkejut dan hampa dengan keadaan bekalan air sebegitu.
Seorang penduduk, Matussin Latip mendakwa, pihaknya terkejut apabila mendapati air paip itulah yang terpaksa digunakan untuk mandi dan minum.
Katanya, keadaan air keruh itu masih berlarutan dan ia rata-rata dihadapi penduduk yang terpaksa menggunakannya untuk keperluan harian.
Mohd Ariffin, seorang lagi penduduk yang kecewa dengan masalah bekalan air itu meminta pihak berkuasa berkaitan segera tampil menyelesaikan masalah itu.
“Sebelum ini kami menghadapi masalah bekalan air bersih sejak beberapa bulan namun apabila air paip sudah mengalir, begini pula warnanya. Memang sangat sedih,” tegasnya.