
PUTATAN, SABAH – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Koperasi Tanjong Keramat menyantuni 50 orang anak yatim daripada Madrasah Wakaf Islamiah Sabah (MAWIS) Tanjung Aru.
Majlis penyampaian sumbangan berbentuk wang tunai dan bakul makanan disampaikan Yang Dipertua MUIS, Datuk Yahya Hussin dalam satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-anak Yatim di kediaman beliau, pada Khamis.
Menurut Yahya, program tersebut diadakan bagi memberi keceriaan kepada anak-anak yatim bersempena dengan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelma.
Pada majlis yang sama, turut diadakan Majlis Khatam Al-Quran yang dijayakan seramai 400 jemaah wanita sekitar daerah Putatan.
Hadir sama, Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali dan mantan Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Sabah (USIA), Datuk Sairin Karno. — JABATAN PENERANGAN SABAH