
KOTA KINABALU, SABAH – Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas semalam berjalan lancar.
Acara yang bermula pada jam 9.15 pagi itu, menyaksikan keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.
Ketibaan Tun Juhar dan Toh Puan Norlidah disambut oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Salag sambil diiringi Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya serta isteri, Datin Norani Salleh.
Tun Juhar kemudiannya menerima tabik hormat daripada Pegawai Baris, DSP Hamdan Ali Hassan diikuti lagu “Negaraku” dan “Sabah Tanah Airku” sebelum beliau memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Panji Batalion 16, Pasukan Gerakan Am Polis Diraja Malaysia.
Pemeriksaan KKU yang dianggotai tiga Pegawai Kanan dan 102 anggota diketuai oleh DSP Hamdan Ali Hassan dan dibantu Penolong Pegawai Baris, ASP Anwar Johari tersebut diiringi Pancaragam Polis pimpinan Inspektor Wilbonoh Zain.
Pada jam 9.45 pagi, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masuk ke Dewan Persidangan disusuli para pembantu menteri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, menteri-menteri dan timbalan-timbalan ketua menteri.
Hajiji yang diiringi Juliah masuk ke dewan pada 9.55 pagi sebelum loceng istiadat dibunyikan pada jam 9.57 pagi.
Ia disusuli dengan pengumuman ketibaan Kadzim oleh Bentara Mesyuarat sebelum dewan ditempohkan, diikuti dengan bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Istiadat diteruskan dengan perarakan masuk Tun Juhar bersama Toh Puan Norlidah pada jam 10.06 pagi di Dewan Persidangan Aras 4 diiringi tiupan nafiri oleh Polis Diraja Malaysia.
Di dalam Dewan Persidangan, Hajiji menyerahkan Teks Ucapan Dasar Kerajaan Negeri Sabah kepada Tun Juhar dan ucapan berlangsung kira-kira 45 minit.
Selesai ucapan, Kadzim mengumumkan Penangguhan Persidangan DUN Sabah dan menjemput Bungsu memimpin bacaan doa.
Selepas itu, acara diteruskan dengan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Bangkuasi DUN Sabah yang dihadiri lebih 1,300 orang tetamu jemputan. — JABATAN PENERANGAN SABAH