KOTA KINABALU, SABAH : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited untuk memberikan akses pendidikan kepada kanak-kanak warganegara Malaysia yang mempunyai masalah dokumentasi menerusi program Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK).
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata program terbabit merupakan inisiatif pihaknya agar kanak-kanak warganegara yang mempunyai masalah dokumen mendapat pendidikan asas setara dengan kanak-kanak lain dalam arus perdana.
“Kita harap program ini terus dapat dikembangkan dan mendapat sokongan. Kita juga sedang melihat keperluan guru ketika ini bagi menambah baik program ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Katanya, antara kriteria murid yang menyertai program terbabit menggariskan syarat bapa atau ibu kanak-kanak itu merupakan warganegara Malaysia tetapi tidak mempunyai dokumen.
Selain itu, beliau juga menjelaskan murid dibawah program itu akan belajar berpandukan modul.
“Setakat ini, kita mengambil pendekatan dimana mereka ini akan belajar secara modul disebabkan mereka ini tidak pernah bersekolah, jadi mungkin ada sedikit masalah mengikuti pendidikan arus perdana.
“Guru-guru kita juga adalah guru berkemahiran tinggi yang telah dilatih menggunakan modul ini untuk pembelajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Outreach Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) bertempat di SK Sembulan, di sini, semalam.
Disamping itu, Fadhlina turut memberitahu sekiranya murid dibawah program SBJK mampu melepasi tahap tertentu untuk memasuki pendidikan arus perdana.
“Ia bergantung pada tahap mereka (murid program SBJK). Kalau mereka boleh melepasi aras dan tahap itu, kemungkinan kita boleh masukkan mereka untuk menyertai murid lain di arus perdana dan juga mempunyai dokumen yang lengkap,” katanya.