SEMPORNA, SABAH – Pemandu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton maut bertembung dengan sebuah lori Isuzu 3 tan di Ladang Pinang, sini.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah menamakan identiti mangsa sebagai Hassan Harun berusia 30 tahun.
“Mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan…
“Mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata seorang jurucakap agensi berkenaan dalam kenyataan.
Terdapat empat (4) orang mangsa lain terlibat dan mengalami kecederaan ringan dalam insiden kira-kira 3 petang tadi.
Menurut sumber yang sama, mangsa-mangsa telah dihantar ke Hospital Tawau dan Hospital Semporna oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan.
Jarak dari Balai Bomba dan Penyelamat Semporna ke lokasi dalam 26 kilometer. Operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.25 petang.






