
KOTA KINABALU, SABAH – UMNO Sabah membayangkan membentuk gabungan dengan parti tempatan yang “tercicir” oleh kerajaan Gabungab Rakyat Sabah (GRS) yang memerintah.
Parti-parti yang dimaksudkan mungkin termasuk Warisan, PBRS, dan KDM.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ianya jelas dalam situasi politik semasa tiada lagi parti ‘solo’ yang boleh bertahan dalam pilihan raya di Sabah.
“Rakyat tidak boleh lagi menerima satu parti sahaja. Kita telah melalui pilihan raya demi pilihan raya dan kita menuju ke arah satu lagi. Yang pasti kami akan meneruskannya dengan sebuah gabungan.
“Lihat mereka yang berada dalam kitaran kuasa dan pembangkang, mereka akan menjadi parti yang turut bertanding. Pengundi muda telah melihat perkara ini dan membuat pilihan mereka dari kalangan parti tempatan,” katanya.
Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal baru-baru ini menyatakan bahawa tidak mustahil satu parti boleh mendominasi. Untuk itu, Bung berkata ia hanya pandangan Shafie dan bukannya satu keputusan.
“Apa yang penting kita perlu memperkukuhkan parti kita sendiri supaya orang ramai mahu bekerjasama.
“Ada nama untuk gabungan itu tetapi masanya belum tiba untuk diumumkan. Kami akan memantau situasi GRS dan mendedahkannya kemudian.
“Sebuah gagasan baharu akan menstabilkan politik Sabah,” katanya selepas menyerahkan surat pelantikan kepada penerima Komuniti Desa Madani (JPKKP) di bangunan UMNO di sini pada Jumaat.





