Kelemahan kepimpinan politik cermin masalah pembangunan di Semporna

Kelemahan kepimpinan politik cermin masalah pembangunan di Semporna

0
SHARE

Oleh: Ahmad Fazlan Shah bin Abd Rahman

KOTA KINABALU, 3 Oktober 2025 — Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) menyifatkan masalah kebersihan dan pembangunan di Semporna sebagai cerminan kegagalan kepimpinan politik kawasan itu untuk memanfaatkan peluang pembangunan yang ada selama ini.

Jurucakap BEBAS, Faiz Yong berkata, keadaan bandar yang masih kotor dan tidak terurus walaupun Semporna dikenali dengan pulau-pulaunya yang tercantik di dunia menunjukkan kegagalan menyeluruh dari segi kepimpinan dan perancangan.

“Ketika Ahli Parlimen kawasan ini menjadi Ketua Menteri Sabah, peluang terbuka luas untuk memperbaiki wajah bandar Semporna melalui peruntukan negeri dan perancangan semula infrastruktur.

“Malangnya, peluang itu tidak diterjemahkan kepada perubahan besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan khas “Indah di Pulau, Kotor di Darat: Semporna Belum Sempurna” semalam.

Untuk rekod, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mula diberi mandat oleh rakyat Semporna sejak tahun 1995 dan sehingga kini kekal sebagai Ahli Parlimen kawasan itu. Namun, tiga dekad berlalu, isu asas seperti kebersihan bandar, pengurusan sampah serta komuniti tanpa dokumen masih belum berjaya diselesaikan.

Shafie Apdal ketika berada dalam pentadbiran UMNO satu ketika dulu. Kredit: NSTP

Dalam kerjaya politiknya di peringkat Persekutuan, Mohd Shafie pernah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada tahun 2004. Beliau kemudian mengetuai beberapa kementerian termasuk Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, sebelum memegang portfolio Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dari tahun 2009 hingga 2015. Julai 2015 menjadi titik penting apabila beliau digugurkan daripada kabinet selepas rombakan besar oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Setahun kemudian, pada 17 Oktober 2016, beliau menubuhkan Parti Warisan Sabah (WARISAN). Parti itu mencatat kejayaan besar apabila menawan pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Umum Negeri 2018, dengan Mohd Shafie mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-15. Pemerintahannya bagaimanapun hanya bertahan 26 bulan sebelum tumbang pada Pilihan Raya Negeri 2020. Walaupun berjaya mempertahankan kerusi DUN Senallang dengan majoriti 4,631 undi, angka itu merosot berbanding pilihan raya sebelumnya.

Pemandangan menyedihkan di tengah bandar Semporna — timbunan sampah berselerakan di tepi jalan, dengan kanak-kanak tanpa dokumen bermain di jalanan berhampiran tempat letak kereta.

Mengulas lanjut, Faiz berkata walaupun kini Ahli Parlimen berkenaan berada di blok pembangkang negeri, beliau masih mempunyai akses kepada kuasa di peringkat Persekutuan melalui kementerian tertentu.

“Akses ini sepatutnya digunakan untuk membawa pulang peruntukan dan projek pembangunan, tetapi rakyat masih menunggu bukti jelas bahawa pengaruh tersebut benar-benar dimanfaatkan untuk kepentingan tempatan,” ujarnya.

Beliau menambah, Majlis Daerah Semporna tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya kerana mereka berdepan kesukaran melaksanakan tanggungjawab dalam suasana politik yang tidak konsisten.

“Tanpa arahan jelas dan sumber mencukupi, segala dasar kebersihan dan perancangan bandar hanya tinggal inisiatif kecil yang tidak memberi kesan besar,” katanya.

Faiz turut menyentuh usaha kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menyediakan kerangka pembangunan seimbang.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan di Semporna masih gagal mencapai hasil kerana kurangnya kepimpinan kawasan yang konsisten dan berfokus.

Dalam konteks politik semasa, BEBAS berpendapat isu kebersihan dan pembangunan Semporna bakal menjadi kayu ukur penting menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.

“Rakyat semakin kritis terhadap janji lama yang tidak ditepati. Dengan pengundi muda lebih vokal terhadap isu tempatan, kelemahan menangani masalah asas seperti kebersihan boleh memberi kesan besar kepada kedudukan penyandang,” jelasnya.

BEBAS menegaskan Semporna hanya boleh mencapai potensi sebenarnya apabila pembangunan daratan dilaksanakan seiring dengan keindahan lautnya yang sudah terkenal di seluruh dunia.