SIBEC Berlangsung September Depan

SIBEC Berlangsung September Depan

0
SHARE
Smj
Rosmadi (lima dari kiri) menyampaikan replika pelancaran persidangan Sabah International Blue Economy kepada Jainisah (enam dari kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) akan diadakan pada September depan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ), Ramlee Kariah, persidangan tersebut dijangka dihadiri oleh seramai 2000 peserta termasuk pemain industri yang akan berkongsi formula kejayaan mereka.

“Persidangan itu nanti kita jangkakan akan menghimpunkan lebih kurang 2000 orang dan lebih separuh datang dari luar negara termasuklah panel yang terdiri daripada pelabur, pemain industri, pengamal ekonomi biru serta mereka yang mempunyai kepakaran dalam ekonomi biru.

“Semua panel ini berjaya melaksanakan ekonomi biru di negara masing-masing dan akan berkongsi mengenai kejayaan mereka.

“Lebih menarik lagi, persidangan ini turut mendapat perhatian dan komitmen daripada kedutaan-kedutaan negara asing yang turut mengamalkan janaan ekonomi biru.

“Seperti diketahui, Ekonomi Biru berpotensi besar dalam pelbagai bidang termasuklah perikanan dan akuakultur, logistik perkapalan dan pengangkutan, pelancongan serta tenaga boleh diperbaharui yang boleh menjadi satu lagi platform mewujudkan kerangka ekonomi yang akan menentukan hala tuju ekonomi Sabah,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Apresiasi Media SSMJ Jabatan Ketua Menteri di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ramlee turut memaklumkan inisiatif yang dilaksanakan dalam menyelesaikan isu miskin tegar.

“Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor meminta Sekretariat SMJ bersama-sama dengan pelbagai agensi jabatan negeri dan persekutuan termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun untuk menggembleng usaha dan tenaga agar isu miskin tegar di negeri ini dapat dinoktahkan.

“Pelbagai inisiatif diperkenalkan antaranya melaksanakan profiling ketua isi rumah (KIR) untuk cari tahu setiap keperluan yang ada dalam rumah, kita intervensi bantuan berdasarkan keperluan masing-masing termasuklah yang perlukan pekerjaan, bantuan persekolahan, perlu bantuan peningkatan kapasiti dan sebagainya.

“Apabila profiling selesai, kita buat padanan untuk kenal pasti jenis bantuan diperlukan dan kita akan bagi bantuan, selepas projek rintis yang dimulakan di daerah Tuaran pada 2023, 40 peratus profiling dan padanan telah kita siapkan,” ujarnya.

Menurut beliau, setakat Mac 2024, masalah miskin tegar berkurangan dari 22,510 pada September 2023 kepada 12,555 kes.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penyelaras SSMJ, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pengarah SSMJ, Rosnih Othman. — JABATAN PENERANGAN SABAH