
RANAU, SABAH – Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun, hari ini melancarkan projek infrastruktur air baharu bernilai RM63.8 juta, bagi meningkatkan kualiti dan ketersediaan air di daerah ini.
Projek yang terdiri daripada pemasangan paip bagi pengambilan air mentah dari Sungai Mamut ke Loji Rawatan Air baharu di Lohan, telah dilaksanakan oleh Jabatan Air Negeri Sabah sejak Jun 2023 dan dijadualkan siap pada Disember 2025.
Menurut Masidi, projek itu penting untuk meningkatkan bekalan air terawat kepada beberapa kawasan utama, seperti Pekan Ranau, Lohan, Poring, dan sepanjang Jalan Sandakan.
Katanya ia menonjolkan kepentingan dalam menyokong perniagaan tempatan dan meningkatkan kebajikan dan kesihatan penduduk tempatan.
“Apabila siap dan ditauliahkan, Loji Rawatan Air baharu akan berterusan menambah bekalan air terawat ke kawasan sekitar Pekan Ranau semasa keadaan cuaca yang buruk.
“Sungai Liwagu yang sering kali banjir menyebabkan gangguan pengeluaran air di Loji Rawatan Air Kimolohing kerana kekeruhan air yang tinggi.
“Projek ini termasuk saluran paip untuk kedua dua air mentah dan terawat, bersama dengan loji rawatan air moden yang mampu menghasilkan lima juta liter sehari.
“Sistem ini direka untuk menambah bekalan air yang dihasilkan di Loji Rawatan Kimolohing bagi memastikan perkhidmatan air yang stabil dan dipertingkatkan di seluruh daerah,” katanya.
Menurut Masidi, sehingga April 2024, projek itu sudah 29 peratus siap dari segi fizikal pembinaan dan memuji kemajuan pantas yang dicapai.
Beliau menambah bahawa kemas kini tetap mengenai kemajuan projek akan disediakan dan mengulangi komitmen kerajaan untuk melabur dalam infrastruktur kritikal untuk menambah baik kehidupan masyarakat Sabah.