
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan persekutuan komited dalam meningkatkan tahap kesalinghubungan rakyat Sabah.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, antara perkara yang diberikan penekanan adalah untuk mempercepat proses penyiapan menara-menara yang mengambil masa akibat masalah yang tidak dapat dielakkan.
“Kerajaan persekutuan melalui program seperti JENDELA sedang berusaha untuk meningkatkan tahap kesalinghubungan rakyat di negeri ini.
“Saya juga telah bertemu dengan semua pihak yang terlibat dan mereka memaklumkan menjelang hujung tahun ini keseluruhan hampir 400 menara akan disiapkan.
“Ini merupakan satu perkembangan yang positif dan saya meminta pihak kementerian dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membuat pemantauan proaktif dari masa ke masa.
“Kementerian melalui SKMM akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dengan pembangunan infra bagi memastikan inisiatif Pelan JENDELA siap sepenuhnya menjelang tahun 2025,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan Sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2024 di sini, pada Jumaat.
Fahmi turut berpesan agar warga yang berinformasi bukan hanya mempunyai akses kepada internet yang pantas, murah dan luas tetapi juga selamat.
“Saya ingin menegaskan kepada semua untuk berhati-hati apabila mendapat sebarang maklumat dalam internet kerana ada usaha dari pihak tertentu untuk menyebar maklumat yang tidak benar.
“Saya juga merasakan ada keperluan untuk kita mengusaha satu program kempen besar-besaran iaitu Kempen Keselamatan Dalam Talian Untuk Kanak-kanak dan Keluarga dan kempen ini saya harap dapat dilaksanakan pada bulan Ogos nanti,” tambahnya.
Menurut beliau, setakat Februari 2024, sebanyak 281 menara baharu telah beroperasi dan 4,473 stesen pemancar telah siap dinaik taraf kepada rangkaian 4G.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim, Ketua Pegawai Pembangunan, Ir Azizi A Hadi, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Suhaimi Sulaiman dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Julina Johan. — JABATAN PENERANGAN SABAH