TUARAN, SABAH – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah buat kali keduanya menghantar jenazah pesakit COVID-19 ke tempat persemadian terakhir mereka menggunakan bot.
Perjalanan berjarak tiga (3) kilometer dari Kampung Betutai ke tanah perkuburan Pulau Torong Kibing yang berhampiran turut melibatkan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Tuaran, Lt. (PA) Paulina Francis berkata arwah Remah Ali berumur 87 tahun.
“Menurut Doktor, arwah tiada sejarah penyakit kronik tetapi mula lumpuh pada 27 September lalu disebabkan bengkak pada kaki kiri.
“Arwah hanya mula mendapatkan rawatan di sebuah klinik sini pada Sabtu lalu…
“Namun beliau hanya terbaring sahaja di rumah tanpa selera makan sehingga nazak dan meninggal dunia pada jam 2.45 Isnin lalu,” katanya sambil menambah tiada panggilan kecemasan MERS 999 dibuat ahli keluarga.
Katanya, disebabkan tiada laluan darat ke tanah perkuburan kampung betutai, pihak KKM meminta bantuan anggota APM Tuaran.
“Sudah menjadi tanggungjawab, yang hidup akan menguruskan si mati dan itulah pengorbanan petugas barisan hadapan,” tambahnya.
Jenazah dibawa mengunakan bot milik APM dari muara Sungai Betutai ke perairan laut Penimbawan pada pukul 10 pagi tadi.