KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 128 orang hilang tempat tinggal selepas DUA (2) deret rumah rentung dalam kebakaran di Skim Penempatan Telipok, Jalan Tuaran tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mendapat panggilan kecemasan pada pukul 1.19 tengah hari.
Kekuatan 15 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan 10 dari BBP Tuaran diketuai PBK II Mohd Faizal Alias bergegas ke lokasi.
Sumber Pusat Gerakan Operasi Bomba sabah berkata 16 rumah yang berukuran 20’x20’ kaki telah terbakar 90 peratus (90%).

“Pasukan menjalankan operasi pemadaman menggunakan empat (4) aliran 400’ kaki empat (4) pancutan di mana sumber air didapati daripada jentera water tanker,” katanya sambil menambah tiada mangsa cedera dilaporkan.

Menurut Ketua BBP Lintas, PKPgB Agustavia Joe Guasi, keseluruhan mangsa merangkumi 17 buah keluarga.
Kebakaran tersebut merupakan kali kedua yang berlaku di kawasan padat yang sama dalam masa empat (4) minggu.
Terdahulu, sejumlah 23 buah rumah musnah dalam kebakaran yang sama.