TAWAU, SABAH – Seorang warganegara asing maut di Hospital setelah nekad terjun dari tingkat satu sebuah premis pusat hiburan di Jalan Chong Thein Vun ketika ianya diserbu pihak penguatkuasa.
Mangsa berusia 23 tahun itu disahkan meninggal dunia apabila mendapatkan rawatan untuk kecederaan parah yang dialami beliau dalam insiden kira-kira 1 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata pusat hiburan berkenaan didapati beroperasi melebihi masa.
“Pemeriksaan awal berjaya menahan lima individu termasuk seorang wanita berusia 17 hingga 45 tahun.
“Semua suspek ditahan selepas dipercayai masuk dan tinggal di negara ini tanpa dokumen diri yang sah selain pasukan serbuan turut merampas beberapa peralatan elektronik di pusat hiburan berkenaan,” katanya dalam sebuah kenyataan media.
“Suspek dihantar ke Hospital Tawau menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi,” tambah beliau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3, Ordinan Hiburan Awam 1958 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/1963.
Dalam pada itu, Jasmin berkata, satu siasatan terperinci bersabit kejadian juga sedang dijalankan.
Beliau menasihati orang supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaraan masyarakat sehingga mengganggu siasatan.
“Masyarakat juga dinasihatkan supaya tidak sesekali menularkan maklumat tidak sahih kepada umum.
“Sebarang maklumat berhubung kes ini boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-752222,” tegasnya.