KOTA KINABALU: Ketua Penerangan parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman tidak patut melenting apabila kelulusan biasiswa anaknya yang diluluskan oleh kerajaan negeri diketahui secara umum, kata Ketua Biro Penerangan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Fredie Sua.
Bagaimanapun, Azis dilihat malah menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mempolitikkan isu tersebut.
Memetik Kupi-Kupi, Fredie dilaporkan berkata, tindakan Ketua Menteri mendedahkan perkara itu adalah tepat kerana banyak fitnah dan tuduhan yang tidak berasas dilemparkan terhadap kerajaan beliau.
“Langkah Ketua Menteri untuk menjelaskan sokongan beliau terhadap biasiswa ini adalah wajar bagi membuktikan ketelusan kerajaan dan menghapuskan persepsi yang salah,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Beliau turut memuji langkah yang diambil Ketua Menteri kerana menunjukkan ketelusan dan keprihatinan tinggi terhadap pendidikan anak-anak Sabah, termasuk anak-anak pemimpin pembangkang seperti Azis.
Katanya, tindakan itu membuktikan kepimpinan Hajii meletakkan kepentingan pendidikan anak-anak Sabah tanpa mengira perbezaan fahaman politik, kaum atau agama.
“PBRS memandang tindakan Ketua Menteri ini sebagai satu contoh teladan yang patut dipuji.
“Walaupun berbeza pandangan politik, YAB Datuk Hajiji tetap mengutamakan pendidikan generasi muda Sabah, membuktikan sifat kepimpinan yang terbuka dan matang.
“Langkah beliau yang menulis ‘OK, Sila Pertimbangkan’ pada permohonan biasiswa adalah bukti komitmen beliau untuk memastikan setiap anak Sabah mendapat peluang pendidikan yang adil, mengikut kelayakan mereka,” katanya.
Fredie berkata, sebelum Ketua Menteri memaklumkan kepada umum bahawa beliau menyokong permohonan biasiswa anak-anak Azis, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri itu sepatutnya terlebih dahulu mengucapkan terima kasih Hajiji dengan hati terbuka.
“Sebagai pemimpin, memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada usaha pihak lain adalah tindakan yang sewajarnya.
“Ini termasuk memberi penghormatan kepada usaha Ketua Menteri yang menyokong pendidikan anak-anaknya. Give credit and appreciation where it’s due,” katanya.
Sementara itu, Fredie berkata sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), PBRS berharap pendidikan di Sabah akan terus diberi perhatian utama oleh kerajaan negeri.
“Pendidikan adalah asas masa depan negara dan kami percaya bahawa dengan keutamaan yang diberikan kepada bidang ini, Sabah akan terus berkembang dan maju seiring dengan negara-negara lain yang lebih maju.
“Usaha ini akan memastikan masa depan anak-anak Sabah lebih cerah dan menjamin kemajuan negara.
“PBRS berterima kasih kepada YAB Datuk Hajiji Noor dan berharap agar semua pihak terus bekerjasama untuk memastikan pendidikan di Sabah sentiasa menjadi keutamaan bagi kemajuan negeri dan negara,” katanya.