KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mengambil perhatian serius dan akan bertindak tegas insiden pergaduhan melibatkan beberapa murid di luas kawasan sekolah di Tawau sebelum ini yang turut tular di media sosial
JPN Sabah dalam satu kenyataan media di sini hari ini berkata, pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah mengambil tindakan segera mengenal pasti murid yang terlibat serta menjalankan siasatan dalaman.
“Insiden ini sedang dalam siasatan pihak polis dan JPN Sabah memberi kerjasama penuh terhadap proses siasatan yang sedang berjalan.
“JPN Sabah menegaskan bahawa walaupun kejadian berlaku di luar sekolah, sebarang bentuk salah laku yang melibatkan murid dipandang serius.
“Tingkah laku sedemikian bukan sahaja mencemarkan imej institusi pendidikan, malah boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan murid,” katanya.
Tegas kenyataan itu lagi, JPN Sabah tidak akan berkompromi dengan insiden salah laku sedemikan dan tindakan tegas akan diambil terhadap murid yang didapatu bersalah selaras dengan peruntukan dan garis panduan yang sedang berkuat kuasa.






