Peranti Starlink Kampung Langsat Pastikan Penduduk Nikmati Internet

Peranti Starlink Kampung Langsat Pastikan Penduduk Nikmati Internet

0
SHARE
Fahmi
Fahmi menunjukkan alat penerima (receiver) Starlink yang dipasang di Masjid An-Nur Kampung Langsat ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

RANAU, SABAH – Peranti Starlink di Kampung Langsat merupakan penyelesaian interim demi memastikan penduduk menikmati kemudahan internet.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ketika ditemui media berkata peranti tersebut telah ditempatkan di Masjid An-Nur kampung berkenaan sementara menunggu menara komunikasi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) siap dua tahun lagi.

“Peranti Starlink ini telah siap dipasang sejak dua bulan lalu dan boleh dicapai sehingga jarak 100 meter dengan kelajuan mencapai 200 Mbps.

“Ini kita lihat sebahagian daripada usaha untuk membantu rakyat terutama di kawasan yang sedang menunggu pembinaan menara telekomunikasi supaya penduduk sekitar dapat capaian internet.

“Saya difahamkan sebelum ini, sekolah di bawah KPM ada kemudahan internet satelit di bawah ConnectMe iaitu di dalam sekolah tapi tak sampai di sini jadi, dengan ada Starlink ia boleh dimanfaatkan semua penduduk sekitar,” jelas Fahmi.

Beliau ditemui media ketika melakukan lawatan ke Tapak Projek PoC Pemasangan Peranti Starlink di Kampung Langsat, di sini pada Ahad.

Kampung Langsat yang terletak 26km dari Pekan Ranau merupakan lokasi kedua di Sabah selepas pemasangan peranti Starlink di Sekolah Kebangsaan Malaing di Keningau pada 5 September lalu.

Pemasangan peranti Satelit Starlink itu dilaksanakan bersama dengan Syarikat SummerNet Sdn. Bhd di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Antara yang mengiringi Fahmi, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah MCMC Sabah Izani Othman dan Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid. — JABATAN PENERANGAN SABAH