KOTA KINABALU: Kg. Nosoob Baru menyaksikan gotong-royong komuniti membina enam lapisan eco-gabion hasil bimbingan pakar geologi merangkap Ahli Majlis MPP Dr. Felix Tongkul bersama Philip Chin Jr, sebagai langkah segera menangani kejadian tanah runtuh.
Struktur mesra alam ini menggunakan bahan semula jadi, kepakaran tempatan dan kos berpatutan bagi menstabilkan cerun serta mengurangkan risiko bencana.
ADUN Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang, turut hadir membantu serta memuji usaha tersebut sebagai bukti kekuatan komuniti dan pengetahuan tempatan dalam menjadikan krisis sebagai peluang untuk mewujudkan persekitaran lebih selamat dan lestari.
“Dengan perubahan iklim yang meningkatkan risiko hujan lebat dan tanah runtuh, kita perlukan penyelesaian praktikal, mampan dan berasaskan gotong-royong. Eco-gabion ini antara contoh terbaik,” katanya.
Sempena Hari Sungai Sedunia pada 28 September, Kapayan turut melancarkan Skuad Sungai, gerakan sukarelawan menjaga sungai.
Pesta Sungai Kapayan tahun ini dibatalkan sebagai tanda hormat kepada mangsa tragedi tanah runtuh.
“Penyelesaian tidak semestinya datang dari luar, ia boleh bermula di sini dengan tangan kita sendiri.
“Tanggungjawab kita bukan sekadar bertindak selepas bencana, tetapi membina masa depan di mana manusia dan alam dapat hidup harmoni,” tambah Jannie.






